Friday, October 24, 2014
Laman Utama Tags Posts tagged with "Harimau Malaya"

Harimau Malaya

210

PENCAPAIAN skuad Harimau Malaya pada perlawanan Piala AFF Suzuki 2014 mungkin jadi penentu kedudukan Ketua Jurulatih skuad itu, Dollah Salleh dalam pasukan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda mahu melihat kejayaan pasukan kendalian Dollah pada perlawanan yang diadakan di Singapura dan Vietnam bermula 22 November hingga 20 Disember ini.

“Kita mahukan kejayaan kali ini, kalau tidak ada kejayaan mungkin kedudukan Dollah Salleh akan diambil kira juga.

Diharap jurulatih Dollah Salleh dapat memastikan pasukan cukup bersedia …tidak kira pemain muda atau lama. Kecergasan dan fokus pemain perlu ditekankan,” titah baginda selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bola Piala Asia 2015 di Hotel JW Marriot di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysia berdepan laluan sukar pada Piala AFF Suzuki apabila diundi bersama juara bertahan Singapura dan juara tiga kali Thailand dalam kumpulan B.

Sementara itu Tengku Abdullah bertitah FAM akan menilai semula program skuad Harimau Muda A yang menunjukkan prestasi merosot pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

“Kita perlu mempelbagaikan program peringkat akar umbi ini, itu paling penting. Penampilan skuad Harimau Muda A di Sukan Asia memperlihatkan kelemahan pihak jurulatih dan pemain itu sendiri.

“Kita akan kaji semula program pasukan menjalani latihan ke luar negara sama ada berbaloi atau tidak? Tetapi program pembangunan perlu diteruskan dan kita mesti ‘melabur’. Namun kita perlu akui juga ada pasukan Harimau Muda A menunjukkan peningkatan, pendedahan itu bagus untuk mereka,” titah baginda.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal mencapai sasaran ke suku akhir Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan selepas tersingkir awal pada perlawanan peringkat kumpulan.

Baginda turut mengulas cadangan segelintir pihak persatuan bola sepak negeri supaya membubarkan skuad Harimau Muda A dengan membenarkan pemain beraksi dengan negeri atau kelab masing-masing.

“Itu satu keputusan yang beta akan kaji (membubarkan skuad Harimau Muda A).

Kita bagi kebebasan atau keadaan menang-menang…kita juga mahu memberikan pemain pendedahan di luar negara.

Kita akan kaji perkara ini dengan mendalam serta mengambil kira baik dan buruk sama ada Harimau Muda A dilepaskan ataupun tidak,” titah Baginda. – BERNAMA

261

KUALA LUMPUR – Sekalipun berjaya menewaskan Kemboja 4-1 pada perlawanan persahabatan semalam, Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya Dollah Salleh masih tercari-cari 22 pemain terbaik untuk disenaraikan untuk Kejohanan Piala AFF Suzuki pada November ini.

Beliau berkata kejayaan menewaskan Kemboja semalam masih belum membuktikan keupayaan pemain terlibat untuk menghadapi kejohanan itu nanti.

“Kita bernasib baik (perlawanan semalam), kalau pasukan negara lawan Indonesia ataupun Thailand saya rasa ‘masak’ (teruk) juga pasukan kita. Saya belum ada pasukan yang mantap.

“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, saya fokus pada individu dalam pasukan sahaja. Dalam 35 pemain yang saya ada, saya sudah senaraikan 27 pemain tetapi saya masih was-was untuk tolak siapa sebab saya tidak mahu lakukan kesilapan,” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya beliau masih tercari-cari pemain yang mampu menggalas cabaran sebagai penyudah atapun ‘pencipta gol’ dalam pasukan.

“Saya mahu prestasi, kalau penyerang, pemain itu mampu mengancam pertahanan lawan, itu yang saya nak tengok. Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, kedua-duanya ini bagus tetapi saya belum dapat mengenal pasti penyerang yang mempunyai kemahilan penyudah yang konsisten,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Terengganu pada perlawanan amal di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Rabu ini.

Mereka akan melengkapkan aksi persahabatan antarabangsa berdepan Jordan pada 11 Okt ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebelum ini, Malaysia kalah 1-4 kepada Tajikistan di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan pada 8 Ogos lepas sebelum kalah 0-2 kepada Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia, Ahad lepas.- BERNAMA

395

SEPANG – Beraksi sebagai pasukan bukan pilihan menjadi kelebihan bagi Harimau Muda A pada perlawanan bola sepak peringkat kumpulan saingan Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan, kata kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.

Aidil, pemain senior yang dipanggil bagi membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berkata, skuad kebangsaan tidak merasa tertekan walaupun akan memulakan perlawanan menentang pasukan tuan rumah, Korea Selatan, 14 September ini.

“Bagi saya pasukan Korea Selatan lebih tertekan kerana mereka skuad tuan rumah. Pasukan hanya perlu fokus satu persatu perlawanan dalam peringkat kumpulan, jangan terlalu tertekan untuk menang.

“Walaupun saya dan dua lagi pemain senior dipanggil menyertai skuad Harimau Muda A, bagi saya kami tidak berdepan sebarang masalah dari segi keserasian.

“Kami hanya boleh bantu dari segi pengalaman saja, selebihnya taktikal dan kemahiran pemain senior atau pemain Harimau Muda A,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi .

Skuad Harimau Muda A berlepas ke China bagi menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa menentang negara itu Rabu ini sebagai persiapan akhir sebelum ke Incheon.

Selain Aidil, turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan ialah Brendan Gan dan Mohd Norfarhan Muhammad.

Aidil berkata beliau menyifatkan sasaran ke suku akhir dapat memberikan motivasi kepada pemain untuk memberikan persembahan terbaik di Incheon nanti.

Sementara itu, Kim Swee ketika ditemui berkata beliau masih belum mempunyai kesebelasan utama bagi perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Korea Selatan dan memerlukan masa memperbaiki kelemahan skuad terutama pada bahagian serangan sebelum menyenaraikan kesebelasan utama pasukannya.

“Dalam perlawanan persahabatan menentang China, Rabu ini, saya ada dua sesi latihan. Saya harap sesi latihan itu dapat disempurnakan untuk memperbaiki kelemahan kita terutamanya di bahagian serangan,” kata Kim Swee.

Malaysia akan memulakan kempen dalam Kumpulan A bertemu Korea Selatan dalam perlawanan pertama pada 14 September ini, sebelum bertemu Laos dan Arab Saudi untuk melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan.

Hanya juara dan naib juara kumpulan saja layak ke suku akhir dan perlawanan akhir bola sepak Sukan Asia 2014 itu ialah pada 3 Oktober depan. – BERNAMA

Sertai Kami!