Friday, September 4, 2015
Laman Utama Tags Posts tagged with "PKR"

PKR

1122

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ialah pada 25 Sept.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata hari penamaan calon untuk PRK itu ditetapkan pada 13 Sept sementara pengundian awal pada 21 Sept.

Daftar pemilih untuk PRK itu ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku pertama tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 20 Ogos 2014.

“Sebanyak 11 buah sekolah digunakan untuk pusat pengundian dengan 46 saluran mengundi. Sebanyak 422 petugas akan dilantik untuk PRK kali ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil DUN itu di sini Jumaat.

PRK untuk DUN Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Noor Zahadi Omar pada 20 Ogos lepas, akibat kanser hati.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Noor Zahidi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi sebanyak 10,174 mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim (8,438 undi) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary (65 undi). – BERNAMA

 

431

BERLAGAK betul Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan kenyataannya bahawa Pakatan Rakyat (PR) mampu menyapu bersih seratus peratus kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor jika dibubarkan.

Zuraida dengan nada bongkak, seperti biasa menyalahkan UMNO sebagai punca pembubaran DUN di negeri Selangor. Beliau mendakwa kononnya UMNO akan kehilangan semua kerusi DUN mereka jika pilihan raya negeri diadakan.

Beliau juga yakin seluruh rakyat Selangor akan tetap menyokong PR walaupun sebenarnya yang punca perebutan kerusi Menteri Besar Selangor itu ialah PKR sendiri.

(DUN Selangor Jangka Dibubar – Siap Sedia Pilihan Raya Negeri)

“Kenapa nak bubar? Isu bubar tidak mungkin (berlaku) dan satu perkara yang mengarut. Dan perkara ini memalukan rakyat negeri Selangor dan meningkatkan kemarahan rakyat Selangor.

“Dan kalau nak pilihan raya negeri, UMNO perlu bersedia untuk 56-0 (kerusi DUN).

“Sekiranya terjadi (pilihan raya negeri), rakyat akan memberontak dan UMNO akan sifar di Selangor,” katanya dengan nada yang cukup sombong di hadapan perwakilan Wanita PKR ketika Kongres parti itu.

Bagaimanapun di hadapan seluruh penonton, Zuraida berkata mustahil untuk Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenana membubarkan DUN Selangor kerana Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mendapat sokongan majoriti Ahli DUN.

Pelbagai pihak yang sudah muak dengan permainan politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melaksanakan strategi Langkah Kajang sebelum ini semata-mata mahu menjadi Menteri Besar Selangor.

Kini mereka kebanyaknnya mahu Sultan Selangor memilih untuk membubarkan DUN Selangor bagi memberikan mandat sekali lagi kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri ekoran kemelut yang dicetuskan secara sengaja oleh PKR ini. – MYNEWSHUB.MY

Oleh : KUMBANG WIRA

370

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu mengingatkan PKR supaya tidak menjadikan pihaknya sebagai kambing hitam ekoran kekalahan PKR di beberapa kerusi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat sebaliknya menasihatkan PKR Terengganu supaya menyelesaikan masalah dalaman mereka dan memperkuatkan jentera parti mereka di peringkat akar umbi.

“Jangan hanya sekadar nak bertanding, tapi gunakan jentera PAS, sepatutnya masing-masing perlu memperkemaskan jentera parti masing-masing untuk menghadapi pilihan raya.

“Kadang-kadang cabang sahaja yang ada, ranting tak ada pun, jadi inilah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh PKR Terengganu,” katanya dalam sidang media di sini Ahad.

Beliau mengulas dakwaan wakil PKR Terengganu, Azlan Che Mat dalam kongres PKR di Kuala Lumpur pada Sabtu, yang mendakwa PKR “dibuli” PAS Terengganu dalam PRU13 kerana PAS turut menghantar pencalonannya di kerusi yang ditandingi PKR. – mStar Online

879

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin mengecam Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor dan mempertikai komitmen PAS dalam komponen Pakatan Rakyat (PR).

Ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres AMK PKR ke-10 di Shah Alam, Shamsul yang juga ahli parlimen Bukit Katil merujuk ketiadaan Hadi dalam mesyuarat pertama PR pada 23 Julai lalu yang bertujuan untuk membincangkan berkenaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau mempersoalkan tindakan Hadi menghantar timbalannya, Mohamad Sabu untuk berbincang soal Khalid bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen.

“Sekiranya wakil yang dihantar, maka dia harus mempunyai autoriti untuk membuat keputusan.

“Menghantar wakil yang tidak dapat memberikan kata putus akan menggagalkan proses ini.

“Lebih parah sekiranya persetujuan yang dicapai disanggah oleh pemimpin utama parti yang tidak menghadiri mesyuarat,” katanya.

Shamsul yang baru memenangi jawatan Naib Presiden pada pemilihan partinya, turut membidas tindakan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PP) Dr Zuhdi Marzuki yang mengeluarkan analisis senario untuk PAS keluar daripada PR.

“Pergantungan kepada penasihat-penasihat di balik tabir, di luar daripada proses mesyuarat bersama menyukarka lagi keadaan.

“Jika diteliti, krisis ini sebahagian besarnya berpunca daripada tiadanya komitmen kepada proses musyawarah dan disiplin untuk mematuhi keputusan yang dicapai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur krisis itu tidak berjaya memecah belahkan kesepakatan di dalam PR dengan PAS mempertegaskan komitmen mereka untuk bersama pakatan rakyat.

Ini merupakan kali kedua Shamsul menjadikan kongres sebagai pentas untuk mengecam rakan komponennya itu.

Untuk rekod, Kongres sebelum ini Shamsul turut mengecam Hadi berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU). -bnbbc.my

471

SHAH ALAM – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan kehadiran perwakilannya pada persidangan Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR yang sedang berlangsung di sini sudah menepati jangkaan mereka.

Katanya, lebih 400 perwakilan Wanita PKR berdaftar untuk persidangan, hari ini.

“Saya rasa itu (faktor tertenu menyebabkan kurang kehadiran perwakilan) bukan isunya. Kerana perwakilan yang dijangka hadir lebih daripada 400 orang.

“Dan saya rasa ia sudah hampir mencapai sasaran. Itu jumlah perwakilan yang berdaftar,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, ruang kelihatan kosong kerana kebiasaannya Wanita PKR dan AMK bergabung ketika perasmian.

“Ruang yang disediakan lebih dari cukup. Saya rasa ruang yang diberikan ini terlalu besar. Sedangkan AMK di MBSA.

“Selalunya kita bergabung dengan AMK untuk upacara perasmian tapi kali ini kami berasingan itu yang kelihatan kosong. Dan saya rasa sebahagian lagi sedang dalam perjalanan,” katanya.

Majlis perasmian itu tadi dilaksanakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. – Sinar Harian Online

502

PETALING JAYA –  Mohamed Azmin Ali mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas meraih 22,562 undi sekali gus menewaskan pencabarnya Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendapat 10,743 undi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang sebelum ini pencabar utama Azmin, tidak lagi bertanding selepas dipecat dari parti pada 9 Ogos lalu.

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden PKR apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul, mengumumkan keputusan pemilihan parti itu di ibu pejabat parti itu di sini, sebentar tadi.

Mengikut Johari, bagi jawatan Naib Presiden, gandingan tiga pemimpin PKR sebelum ini yang membentuk kumpulan bersama iaitu penyandangnya, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta Pengarah Strategi, Rafizi Ramli menduduki empat teratas jawatan berkenaan.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai memperoleh 29,712 undi diikuti Tian Chua dengan 22,324 undi dan Rafizi (18,887).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dikaitkan dengan kumpulan Mohamed Azmin turut mengisi satu daripada empat jawatan Naib Presiden PKR selepas mendapat 19,839 undi. – BH Online

308

Selepas tersebarnya satu dokumen yang dikatakan, dokumen rahsia dan sulit berkenaan “Langkah Kajang” yang dirangka oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli, hari ini tuan punya badan tampil menafikannya.

Rafizi menuduh blogger dari UMNO yang mencipta sendiri dokumen berkenaan.

Dalam penafian itu, Rafizi dibantu oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dengan membuat satu kenyataan yang agak bercanggah daripada kenyataan Rafizi sendiri.

Menurut Fahmi dalam tweetnya berkaitan pendedahan itu, Rafizi dikatakan tidak menyebut strategi mengadakan pilihan raya kecil Kajang itu sebagai “Langkah Kajang” tetapi “Serampang Kajang”.

rafizi1

Bagaimanapun, menurut laporan laman web Keadilan Daily dalam kenyataan Rafizi pada 29 Januari Rafizi sudah memang menggelarkan strategi berkenaan sebagai Langkah Kajang sebelum beliau menulis di blognya rafiziramli.com sebagai Serampang.

Dokumen yang dikatakan dihasilkan oleh PKR untuk menjelaskan kepada parti itu kini sudah tersebar meluas dalam kalangan blog dan di laman sosial di internet.

Di laman Facebooknya, Rafizi meminta orang ramai khususnya para penyokong Pakatan Rakyat (PR) supaya berhati-hati dengan helah yang dimainkan didakwanya hasil kerja Barisan Nasional (BN) untuk memfitnah pimpinan.

Para blogger pro-BN kini dengan lantang mencabar Rafizi supaya mendedahkan dokumen sebenar Langkah Kajang jika dokumen yang terdedah itu bukan dokumen sebenar.

Sehingga kini apa yang ada daripada Rafizi dan Fahmi hanyalah penafian semata-mata dengan tuduhan ditujukan kepada UMNO yang dikatakan mencipta dokumen terbabit. – Mynewshub.my, 20 Ogos 2014

Oleh : KUMBANG WIRA 

913

Hari ini, dikhabarkan ada dokumen sulit dan rahsia berkaitan Langkah Kajang oleh Parti Keadilan Rakyat sudah tersebar serta didedahkan pihak tidak diketahui di laman sosial Facebook secara meluas.

Dokumen yang bertajuk “Ringkasan Eksekutif : Langkah Kajang, Selangkah Ke Putrajaya” setebal kira-kira enam mukasurat dengan penjelasan ringkas berkaitan Langkah Kajang.

Daripada apa yang tertulis di dalam dokumen itu, strategi Langkah Kajang dilaksanakan semata-mata untuk meletakkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor untuk akses kepada rizab negeri berjumlah RM3.2 Bilion.

[BACAAda Yang Tak Puas Hati Sebab Saya Lawan ‘Langkah Kajang’]

Dana berkenaan akan digunakan kemudiannya oleh PKR untuk membiayai kempen yang cukup lama perancangannya untuk melancarkan serangan demi serangan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) seterusnya menggulingkan kerajaan.

“Strategi ini dinamakan Langkah Kajang kerana satu Pilihan Raya Kecil akan diaturkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang bagi membolehkan Anwar bertanding di kerusi DUN Selangor seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” menurut dokumen itu.

LangkahKajang_2 LangkahKajang_3

Selain itu, dalam bahagian penjelasan ringkas Langkah Kajang, ia turut memaklumkan bahawa kegagalan Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 adalah kerana kekangan kewangan.

Oleh itu, strategi baru itu dirangka bagi memastikan kewangan PR adalah mencukupi untuk menumbangkan kerajaan BN.

“Langkah Kajang dirangka dan digubal bagi memastikan kemampuan PR adalah mencukupi seterusnya kejayaan Langkah Kajang ini akan meranapkan keupayaan kewangan BN menjelang dan semasa PRU14.

“Langkah Kajang ini diadun dengan pelbagai strategi peringkat tinggi melibatkan pengambilan untung dari pasaran saham tempatan seterusnya menyerang kepentingan strategik kewangan BN,” menurut apa yang tertera di dokumen itu.

Antara tulisan yang membimbangkan di dalam dokumen berkenaan ialah kesudian beberapa orang taikun yang bersedia menyumbangkan sejumlah wang secara konsisten untuk kejayaan PR.

LangkahKajang_4 LangkahKajang_5

“Menerusi Proksi Pakatan, Tabung Khas daripada kutipan ‘tidak terancang’ secara konsisten dari rakan perniagaan di Selangor. Kelulusan serta kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi meluluskan Lesen Pusat Hiburan, Pusat Rehat dan Spa amatlah penting bagi melancarkan urusan ini.

“Sejumlah 273 taikun telah bersetuju untuk menyumbang secara konsisten RM50,000 sebulan bagi tujuan membiayai kempen Langkah Kajang dengan hasil sebanyak RM13.6 juta sebulan.

“Sebaik sahaja Khalid digugurkn, sejumlah RM50,000 akan disalurkan kepada setiap cabang seluruh negara bagi membiayai pergerakan mereka. Bakinya akan dijadikan Bajet Tergempar untuk membiayai program tertentu.

“Dana ini akan diuruskan secara bersama oleh Setiausaha Agung dan Pengarah Strategi,” menurut dokumen berkenaan.

PR sudah pun menyatakan komitmen untuk menggunakan dana khas dari kerajaan Negeri Selangor untuk digunakan bagi membiayai kempen peperangan siber dengan pembelian alat komunikasi untuk tentera siber mereka.

Menurut dokumen itu, kempen yang diadakan secara berterusan akan mewujudkan persepsi yang bepanjangan.

“Oleh kerana itu, PR menerusi dana khas Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan Pusat Latihan Propaganda Politik yang akan melatik sekitar 50 orang dari seluruh negara setiap bulan.

“Latihan ini akan dimulakan dengan latihan kepada semua Jawatankuasa Cabang seluruh Malaysia.

“Latihan Intensif Propaganda Siber ini akan dilakukan dengan kepakaran dari Institusi Pengajian Tinggi Dalam dan Luar Negara. Insentif seperti pemberian gajet akan mula diagihkan 24 bulan menjelang PRU14 hasil dari dana yang diperolehi dari Serangan Kajang.

LangkahKajang_6 LangkahKajang_7

“Sejumlah 3,800 unit alat mobil jenama Samsung akan ditender sebaik sahaja Menteri Besar Selangor yang baru dilantik dengan nilai RM7.6 juta untuk membolehkan semua Ketua Cabang dan Jawatankuasa Cabang seluruh Malaysia mempunyai akses internet,” menurut dokumen berkenaan.

Menjelang 24 bulan sebelum PRU14, sejumlah 5,000 unit komputer riba dengan nilai anggaran RM10 juta akan diagihkan kepada petugas siber PR di seluruh negara.

Pihak PKR pastinya mesti tampil dan menjawab segala isi kandungan di dalam dokumen ini yang terang-terang mahu menyalahgunakan dana kerajaan negeri Selangor demi kepentingan politik mereka yang ingin menguasai Putrajaya.

Andai dokumen ini palsu, pihak PKR harus segera membuat laporan polis dan penafian terperinci.

Anda lihat dan baca sendiri petikan-petikan gambar dari dokumen berkenaan. – Mynewshub.my, 20 Ogos 2014

Oleh : KUMBANG WIRA 

653

KUALA LUMPUR – Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memanggil Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Tan Kee Kwong untuk memberi keterangan berhubung aduan salah laku.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Kee Kwong dipanggil oleh ROS melalui sepucuk surat yang dihantar jabatan itu kepada pemimpin PKR tersebut semalam.

“Semalam Pengerusi Lembaga Disiplin PKR menerima sepucuk surat dari ROS meminta beliau hadir ke Putrajaya untuk memberikan keterangan pada 21 Ogos 2014.

“Ia berkaitan satu aduan salah laku yang tidak diperincikan di dalam surat tersebut,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Fahmi berkata, pihaknya difahamkan satu pasukan daripada Bahagian Penguatkuasaan ROS telah bertemu dengan Kee Kwong di Ibu Pejabat PKR di Tropicana Merchant Square di sini hari ini.

Katanya, dalam pertemuan tersebut, pegawai ROS memaklumkan bahawa pertemuan yang sepatutnya berlaku esok telah ditunda ke 28 Ogos 2014, 10 pagi di pejabat ROS di Putrajaya.

“Pengerusi Lembaga Disiplin PKR akan ditemani peguam R.Sivarasa dalam pertemuan minggu hadapan,” katanya.

131

HARI ini ada cakap-cakap dari sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mungkin digugurkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Sumber dalaman itu menyebut Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok-PKR Dr Idris Ahmad sebagai calon Menteri Besar yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Cakap-cakap itu sudah pun tersebar luas di laman sosial Facebook hari ini. Tindakan itu dilakukan Anwar untuk cuba menarik kembali keyakinan PAS ke dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Anwar dilaporjan cukup risau apabila PAS keluar dari PR memandangkan jentera PAS yang ramai dan pasti melemahkan PKR jika PAS keluar.

“Dr Idris sebelum ini telah menjadi sebut-sebutan dari PAS,” kata sumber berkenaan.

Dengan berita terbaru ini, berkemungkinan hayat Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor akan berakhir tidak lama lagi jika PAS kembali menyokong idea PKR untuk menukar Menteri Besar.

Menurut sumber dalam itu, pengumuman nama baru itu akan dibuat Anwar dalam masa terdekat.

Semalam, Dr Wan Azizah telah mengadakan satu sidang media di Subang Jaya mengumumkan bahawa PR sudah pun memiliki sokongan 30 orang ADUN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditambah sokongan dua ADUN PAS iaitu ADUN Morib Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Klang Saari Sungib.

Dalam nada yakin semalam, Dr Wan Azizah tetap yakin bahawa hanya nama beliau akan berjaya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sepertimana kehendak parti yang dicanangkan sejak beliau memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Kajang sebelum ini. – MYNEWSHUB.MY

Oleh : KUMBANG WIRA

101

SHAH ALAM – Anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada PKR Rodziah Ismail berkata beliau akur kepada keputusan partinya berhubung krisis politik Selangor, yang menolak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Beliau yang baru pulang dari Bangkok, Thailand malam semalam selepas  mewakili parti itu dalam satu kursus di sana, dalam satu kenyataan ringkasnya berkata:

“Saya ingin menjelaskan pendirian saya dalam konteks rentetan dan perkembangan mutakhir pentadbiran kerajaan di negeri Selangor. Dalam konteks itu, saya akan akur kepada keputusan PKR, yang saya menganggotainya.

“Keakuran saya itu, saya percaya, adalah untuk menunaikan amanah memelihara mandat yang telah diberi oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Negeri Selangor,” katanya yang mengikuti kursus di Thailand sejak 11 hingga 13 Ogos.

Menteri Besar Selangor sebelum ini bertindak memecat lima anggota exconya selepas didapati tidak menyokong pentadbirannya.

Lima anggota Exco yang disahkan dipecat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor ialah Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi daripada PKR manakala Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP.

Pada Isnin lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan supaya Abdul Khalid terus memegang jawatan Menteri Besar selepas beliau dipecat daripada PKR.

Semalam, Abdul Khalid dilaporkan berkata pemecatan itu tidak melibatkan Rodziah yang ketika itu berada di luar negara dan kedudukan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu akan diputuskan selepas beliau pulang ke tanah air. – BERNAMA

553

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu PAS menjelaskan mengapa parti itu sangat menentang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata perlu ada satu sebab mengapa PAS menolak presiden PKR untuk memegang jawatan tertinggi di negeri itu.

“Ada desas desus bahawa PAS tidak mahu menerima Dr Wan Azizah kerana beliau adalah seorang wanita. Jika ini yang menjadi kes, maka mereka harus tampil dan menyuarakan demikian.

“Kami mahu PAS mengatakan secara terbuka bahawa mereka menentang Dr Wan Azizah sebagai MB kerana beliau adalah seorang wanita.

“Biarlah seluruh Malaysia tahu sebab mereka tidak bersetuju dengan Dr Wan Azizah kerana beliau adalah seorang wanita.

“Jika mereka rasa hanya seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pemimpin atau Menteri Besar, mereka harus mengatakannya. PAS tahu bahawa 51 peratus daripada pengundi adalah wanita. Mereka harus terbuka dan tampil menyatakan mengapa mereka tidak mahukan beliau. Ini akan menjadikan PAS lebih dihormati,” katanya dalam satu temu bual.

Saifuddin berkata Khalid bukanlah seorang yang boleh berkerja dalam pasukan, tidak mematuhi komitmen yang dibuat oleh parti dan Pakatan Rakyat dan jarang muncul untuk mesyuarat parti, dengan menghadiri hanya 42 dari 136 mesyuarat sejak 2010.

Beliau berkata kes hutang RM67 juta Khalid dengan Bank Islam memberikan amaran kepada parti bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

Beliau berkata parti itu bimbang isu ini akan digunakan oleh Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang dan sebab itu Khalid terpaksa digantikan. – The Star Online

1194

KOTA BAHARU – Dewan Ulama PAS Pusat hari ini senada dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersedia jika parti itu ditakdirkan keluar daripada gabungan parti pembangkang berikutan pendapat yang berbeza mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pemangku Ketua Dewan berkenaan, Datuk Ahmad Yakob berkata, mengikut sejarah, parti itu pernah berjuang bersendirian selepas keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) dan juga pakatan pembangkang bersama Semangat 46.

“Seandainya kita (PAS) bersendirian kita terima. Ini sejarah-sejarah yang telah disebut oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Laluan PAS ini bukan mudah.

“Keputusan Majlis Syura Ulama PAS telah membuat ketetapan mengenai keputusan itu. Ia merujuk kepada lunas-lunas perlembagaan semasa membuat keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di sini.

Dua hari lalu, dalam kenyataan bersama Nik Abdul Aziz dan timbalannya Datuk Dr Haron Din, Majlis Syura Ulama PAS telah menegaskan Abdul Khalid tidak boleh digugurkan selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan beliau disingkirkan.

Semalam keadaan politik di Selangor semakin memuncak apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Abdul Khalid daripada parti itu berkuat kuasa serta merta setelah didakwa mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat memilih Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Mengulas isu yang sama, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS bagaimanapun mahu melihat isu itu diselesaikan dengan baik dan menafikan keadaan politik itu menyebabkan perpecahan dalaman gabungan pembangkang.

“Tidak seperti itu. Ini suatu yang memberi kematangan dalam berpolitik dan saya minta biarlah semuanya bertenang dan mencari jalan keluar terbaik.

“Kalau Dewan Undangan Negeri dibubarkan pun ia ada masalah juga,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perlu Abdul Khalid menyertai PAS berikutan beliau kini merupakan anggota DUN Bebas, Ahmad berkata ia sebenarnya terpulang kepada Abdul Khalid sendiri untuk membuat keputusan.

“Itu terpulang dan perkara itu kita tak boleh komen kerana itu adalah hak dia,” katanya. – BERNAMA

251

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang pernah menjadi sekutu pakatan pembangkang dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini mengutuk tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arulchelvan turut menyifatkan PKR mengamalkan ‘penghakiman kangaroo’ kerana tidak memberi ruang kepada Menteri Besar Selangor itu membela diri.

Beliau turut mendakwa pemecatan itu tidak sah kerana tertuduh harus diberi peluang hak membela diri terlebih dahulu sebelum proses pemecatan itu dilakukan.

“Saya pernah kendalikan banyak kes pemecatan. Tertuduh diberi hak membela diri kerana kalau tidak, ia adalah proses pemecatan tidak sah atau `penghakiman kangkaroo’,” katanya melalui laman Facebook.

Arulchelvan berkata, PKR sepatutnya menunggu keputusan parti-parti dalam pakatan pembangkang tetapi tetap menjadi Abdul Khalid mangsa perebutan kuasa dalaman parti itu.

Tegasnya, hal itu bagaimanapun telah menjadikan Abdul Khalid `hero’ dalam kalangan masyarakat.

PSM tahun lalu lantang mengkritik PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengamalkan sistem membuli dalam politik parti itu dan PSM antara mangsa parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ia berikutan PKR menganggap PSM sebagai parti yang kurang popular dan menempatkan calon kroni di kerusi parti itu tanpa mempedulikan sumbangan PSM kepada pakatan pembangkang selama ini. – mynewshub.my

 

887

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekarang adalah masa untuk terus bergerak ke hadapan berhubung isu Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata adalah penting untuk mendapatkan pandangan semua ahli gabungan parti, kerana isu itu bukan sahaja melibatkan Selangor tetapi juga Pakatan Rakyat.

“Saya akan bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lama lagi untuk menyampaikan pandangan saya dan mendengar apa yang dia katakan dan saya percaya kita boleh mencapai persefahaman.

“Semuanya sama, saya juga amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana berkerjasama dengan kami,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat DAP, Ahad.

Apabila ditanya sama ada ahli-ahli Exco Pakatan Rakyat akan meletakkan jawatan untuk memberi tekanan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk berundur, Anwar berkata mereka perlu terus bergerak ke hadapan.

“Pendirian kami adalah jelas tetapi kita perlu bergerak ke hadapan. Kami telah berbincang dengan orang-orang yang sepatutnya,” katanya.

Beliau menambah, majoriti ahli parti telah hilang keyakinan terhadap Khalid dan mereka yang lain harus menghormatinya. – mStar Online