Saturday, October 25, 2014
Laman Utama Tags Posts tagged with "Tun Mahathir"

Tun Mahathir

159

Menteri Besar Selangor yang baru, Azmin Ali menafikan keputusan kerajaan negeri dibayangi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam tempoh sebulan ini, banyak keputusan besar yang diputuskan, tiada siapa yang mengarahkan saya untuk berbuat demikian kerana kita putuskan berdasarkan fakta dan keperluan,” komen beliau dalam laporan Sinar Harian.

Anwar-Azmin

Katanya lagi, “Saya cukup yakin Anwar mahukan saya menjadi menteri besar yang efektif kerana pengalaman saya bersama beliau selama 30 tahun mendidik saya menjadi pemimpin dan ketua yang tegas dan efektif.”

Justeru, segala keputusan yang dibuat bersama adalah berdasarkan kebijaksanaan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) dan bukanlah mendapat arahan mana-mana pihak termasuk Anwar.

Hujung bulan lalu, Tun Dr Mahathir mendakwa Azmin adalah boneka Anwar dalam tadbir urus kerajaan negeri Selangor.

Ujarnya, Azmin hanya mampu untuk menjadi seorang pemimpin yang baik andai dia tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak.

Tun M

Selain dari itu, abang kepada pengacara kontroversi, Azwan Ali, juga menafikan kewujudan perjanjian bersyarat antaranya dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung perlantikan jawatan MB Selangor.

Isu ini timbul apabila baru-baru ini, sebuah blog mendedahkan satu surat perjanjian yang dibuat Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, yang mana Azmin akan dipecat andai beliau tidak menurut arahan PKR. – MYNEWSHUB

Oleh : IZZAT MOHD ANUAR

 

 

749

SHAH ALAM – Malaysia perlu mengambil peluang sebaiknya selepas berjaya memperoleh kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengembalikan kelantangan semasa zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penganalisis Politik Tempatan dan Antarabangsa, Dr Maszlee Malik berkata, Mahathir perlu memainkan peranannya membantu negara dalam menyatakan pendirian terhadap Kumpulan Negara Islam (IS) yang menjadi kebimbangan dunia.

“Sekarang ini kita sudah mendapat kerusi di UNSC, silalah kembalikan kelantangan seperti zaman Mahathir.

“Beliau boleh mainkan peranan di peringkat antarabangsa. Menjadi suara kami.. menjadi suara umat Islam untuk menentang ketidakadilan,” katanya pada Wacana Sinar Harian ke-32 bertajuk ‘Kumpulan Islamic State (IS): Jihadis atau Militan?, di sini, semalam.

Dalam nada berseloroh, Maszlee berkata:

“Tun Mahathir pun, cukup-cukuplah serang Datuk Seri Najib. Tinggalkan kepada PR untuk buat kerja itu.”

Sementara itu, ketika diminta mengulas lanjut mengenai hujahnya itu, Maszlee berkata, kerusi UNSC merupakan peluang besar yang boleh dimanfaatkan negara sebagai wakil kepada seluruh manusia yang tertindas di seluruh dunia.

“Ini (UNSC) satu peluang besar buat Malaysia bukan hanya menjadi wakil negara tapi juga menjadi wakil kepada manusia yang tertindas di seluruh dunia serta menjadi suara kepada golongan yang ditindas berhadapan dengan kuasa-kuasa zalim.

“Juga menjadi suara kepada Islam kerana sedikit sebanyak kalau Malaysia memainkan peranan yang aktif seperti Turki, ia akan beri harapan kepada anak-anak muda bahawa kita konsisten dalam memperjuangkan nasib orang-orang yang tertindas terutama umat Islam,” katanya.

Mengulas soal kedudukan bekas Perdana Menteri itu, Maszlee menambah, Mahathir memiliki keistimewaan tersendiri serta dipandang tinggi oleh pemimpin dunia.

“Sebenarnya keistimewaan Mahathir ialah kelantangannya. Di peringkat antarabangsa suara beliau memang relevan dan beliau dilihat tinggi oleh negara-negara luar.

“Kita berharap supaya hari ini sama ada Datuk Seri Najib (Perdana Menteri) atau Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman), gunakan peluang atau kedudukan dalam UNSC untuk mengembalikan kelantangan pendirian Mahathir,” katanya.

Menurutnya, pendirian itu meliputi segala keganasan yang berlaku di dunia terutama melibatkan negara Islam seperti di Syria.

“Isu Syria tak jelas apa pendirian kita. Sokong ke tak sokong Bashar (Presiden Syria, Bashar Al-Assad) yang bunuh rakyatnya? Kenapa kita tak kecam?

“Malah kita undang wakil Bashar untuk berucap pula. Mungkin ada yang akan kata ini bunyi pembangkang. Tidak.

“Ada (juga) pemimpin pembangkang yang duduk jumpa Bashar sekali. Ini apa cerita?” soalnya. – SINAR HARIAN

185

BANGI – Memperolehi sesuatu pengetahuan melalui bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris, tidak akan menjejaskan rakyat Malaysia atau bangsa Melayu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, kepentingan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak harus dianggap sebagai tidak patriotik tetapi satu keperluan supaya negara dan rakyatnya boleh terus maju dengan pengetahuan yang diperolehi.

Dr Mahathir berkata beliau telah membuat keputusan kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris semasa beliau menjadi perdana menteri kerana menyedari kebanyakan bahan bacaan yang ada adalah dalam bahasa Inggeris, terutama bagi mereka yang mendaftar untuk belajar dalam bidang perubatan dan peringkat Sarjana dan PhD, sehinggalah ke hari ini.

“Saya sedar dengan tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran, orang kita akan ketinggalan dalam mengejar ilmu.

“Bukan saya tidak suka bahasa saya atau bangsa saya. Saya hanya menjadi pragmatis. Kita hanya akan merampas pengetahuan hanya kerana kita mahu menekankan penggunaan bahasa, “katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa negara ini juga memerlukan orang yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, penyelidikan dan penemuan, katanya.

“Hanya jika kita menyumbangkan pengetahuan dan maklumat kepada dunia kita boleh menyatakan bahawa kita adalah sebuah negara maju,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada majlis pelancaran “UKM in Space”, program yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mempromosikan sains angkasa di kalangan pelajar.

Ia diadakan sempena memperingati ulang tahun ketujuh pengembaraan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa.

Beliau berkata walaupun pelajar menuntut ilmu dalam bahasa Inggeris, perlu ada dorongan kuat untuk membawa bahasa Melayu ke tahap ‘bahasa ilmu’ seperti Rusia, Jerman dan Jepun.

Dr Mahathir berkata sekarang Malaysia telah menghantar manusia ke angkasa lepas, dan selepas itu perlu menggalakkan rakyatnya memperoleh pengetahuan yang diperlukan di bidang sains angkasa dan ‘bagaimana untuk membina roket’.

Di Kuantan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kepada pelajar-pelajar bahawa mahir dalam bahasa Inggeris akan meningkatkan keyakinan mereka dalam berkomunikasi dengan dunia.

“Tidak ada refleksi kemajuan yang lebih besar bagi sesebuah negara daripada penglibatan pelajar-pelajar kita di peringkat antarabangsa. Ini adalah benar sama sekali,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran. - mStar Online

199

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berang dengan penyebaran satu artikel palsu yang mendakwa beliau mengkritik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau mendakwa penyebaran artikel itu memperlihatkan musim politik fitnah yang sedang berleluasa pada waktu ini dengan artikel yang digambarkan seperti penulisan sebuah portal berita.

“Musim politik fitnah semakin hangat. Yang terbaru adalah ‘artikel’ kononnya saya buat komen tentang Tun Dr. Mahathir.

“Artikel tersebut ditulis dalam style berita portal. Namun tiada tajuk portal, tiada nama penulis, tiada pautan rujukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO menafikan sekeras-kerasnya artikel tersebut dan menegaskan beliau tidak pernah membuat kenyataan tersebut ke atas Mahathir.

Beliau turut memaklumkan akan membuat laporan polis terhadap artikel palsu tersebut dan pihak yang `menyerang’ beliau berikutan artikel itu tanpa usul periksa.

“Dalam politik ada kawan, ada musuh. Kita tidak boleh harap semua suka atau menyokong kita. Tetapi dalam kita memusuhi orang, agak-agaklah sikit cara kita berpolitik.

“Takkan sampai sanggup buat fitnah macam ini. Kalau nak lawan, lawan dengan hujah. Lawan dengan tindakan demi rakyat. Tak payah nak main politik sampah macam ini,” tegasnya. – mynewshub.cc

656

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sekiranya teguran beliau sebelum ini berasas, Barisan Nasional (BN) akan mengalami prestasi teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

Jika teguran itu dianggap tidak berasas dan polisi sama diteruskan biarpun ditegur kerajaan BN akan mencatatkan kemenangan besar pada PRU berkenaan.

“Mungkin teguran tidak berasas. Tetapi berasas atau tidak boleh diketahui apabila diuji.

“Dalam negara demokrasi ujian yang terbaik ialah apabila pilihanraya diadakan. Jikalau teguran tidak berasas, dan dasar serta pendekatan yang ditegur diteruskan juga, maka sudah tentu kemenangan yang besar akan diperolehi.

“Sebaliknya jika prestasi dalam pilihanraya menjadi lebih buruk maka besar kemungkinan teguran yang dibuat berasas,” katanya.

[BACA - Najib Tidak Tolak Kemungkinan Bertemu Dr Mahathir]

Dr Mahathir berkata demikian dalam satu entri terbaru di blognya www.chedet.cc hari ini.

Dalam pada itu, beliau berasa gembira kerana kerajaan terima dengan terbuka teguran beliau sebelum ini.

Pada 18 Ogos lepas, Dr Mahathir menulis di dalam blognya satu entri bertajuk ‘Menegur’ memperkatakan beberapa teguran kepada Najib yang disifatkan prestasinya lebih buruk berbanding Perdana Menteri sebelum ini Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut beliau dalam entrinya, Dr Mahathir turut teringat akan satu Perjanjian Raja-Raja Melayu dengan British.

“Saya teringat akan perjanjian Raja-Raja Melayu dengan British, disebut dalam perjanjian itu British akan menugas seorang pegawai mereka sebagai Penasihat kepada Kerajaan negeri.

“Tetapi dalam perjanjian itu disebut juga bahawa apabila Penasihat British memberi nasihat, Raja dan Kerajaan mesti terima, penerimaan ini mengikut fahaman British bermakna mengikuti dan melaksana nasihat yang diberi.

“Apabila nasihat mesti diterima dan dilaksana, ia bukan lagi nasihat, ia sudah menjadi arahan atau ‘command’ dalam bahasa Mat Salleh,” kata Dr Mahathir dalam blognya.

Menurut beliau, nasihat yang perlu dilaksana antaranya apabila Residen British mendapati seorang Raja Muda tidak sesuai untuk naik takhta apabila Raja mangkat, nasihat diberi supaya ianya tidak diberi hak untuk mengganti Raja, Raja pun terpaksa terima kerana nasihat Residen mesti diterima dan dikuatkuasakan.

“Raja-Raja Melayu biasanya mempunyai Majlis Penasihat. Tetapi Raja tidak perlu menerima nasihat mereka, jauh sekali daripada melaksana nasihat yang diberi.

“Teguran saya bukanlah nasihat. Nak terima atau tidak adalah hak orang yang ditegur. Nak laksana atau tidak juga hak pihak yang ditegur,” katanya.

Dr Mahathir dalam entrinya menyorot kembali prestasi Perdana Menteri kelima iaitu Abdullah yang menang besar pada PRU 2004 tetapi kemudian hilang lima negeri, satu Wilayah Persekutuan dan kemerostan yang besar di Dewan Rakyat pada PRU ke-12 pada 2008.

“Sepatutnya pengganti memperoleh kemenangan yang lebih baik. Tetapi tidak. Pencapaian Perdana Menteri Ke-6 lebih buruk lagi dalam PRU13 setelah memberi wang Kerajaan kepada berjuta rakyat, membelakangkan Dasar Ekonomi Baru, melayan orang yang tidak hargai layanan, meningkatkan hutang Kerajaan, mendengar nasihat konsultan luar dan lain-lain lagi,” katanya mengulang kembali teguran kepada kerajaan Najib.

Menurut beliau yang sebelum ini mentadbir kerajaan Malaysia selama 22 tahun, dasar pencapaian yang buruk itu sepatutnya dikaji semula kerana ia jelas tidak baik.

“Pendekatan diteruskan, teguran diterima tetapi tidak menukar apa-apa,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak ingin menjadi seperti Penasihat British, tegurannya bukan arahan.

“Mereka yang tidak mengambil iktibar dari pengalaman dahulu yang meneruskan juga pendekatan lama akan didera dengan pencapaian yang sama atau lebih buruk di masa hadapan,” kata Dr Mahathir. – MYNEWSHUB

Oleh : IBNU K

741

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengatakan polisi ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memastikan kepentingan orang bukan Melayu terjaga telah mengakibatkan golongan muda cenderung menjadi militan untuk mati syahid.

Menurut beliau, kerajaan pimpinan Dr Mahathir pada ketika itu, lebih cenderung menitikberatkan pembangunan, sektor yang dipelopori oleh bangsa bukan Melayu, menyebabkan pembangunan orang Melayu Islam dipinggirkan.

Harussani berkata kemiskinan dan kedaifan orang Melayu kesan daripada polisi kerajaan itu telah menyebabkan pemuda Melayu mula berangan-angan untuk mendapat mati syahid kerana “sudah tiada apa untuk mereka di dunia ini”.

“Saya rasa cara beliau (Dr Mahathir) sudah melampau.

“Ketika beliau memerintah, fokus terlalu banyak diberikan kepada industri, siapa yang mendominasi? kalau bukan Melayu. Ini membawa orang Melayu miskin dan akibat pembangunan mereka diabaikan mereka mula memikirkan untuk mati syahid,” katanya.

[BACA - Tegas, Berani Antara Kualiti Pemimpin - Dr M]

Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc dalam satu artikel berkata keengganan ulamak di Malaysia menyatakan pendirian mereka berkenaan penghijrahan golongan muda Malaysia berjihad untuk syahid menjadikan lebih ramai sukarelawan dari Malaysia tertarik untuk ke sana.

“Ulama dan umarak Islam di negara ini tidak dengan tegas menyatakan pendirian mereka, samada percaya tindakan ganas yang dilakukan oleh kumpulan ini adalah sebahagian dari ajaran Islam atau tidak.

“Ada yang dipercayai merestukan sukarelawan Malaysia pergi membunuh orang Islam yang dikatakan tidak Islam,” kata Dr Mahathir dalam artikel bertarikh 30 September lepas.

Selain itu, Dr Mahathir juga berkata tiada fatwa khusus diberikan oleh para ulama di negara berkaitan perkata itu lebih memburukkan keadaan.

Harussani dalam reaksinya kepada artikel blog itu menafikannya dan menganggap dakwaan Dr Mahathir tidak berasas.

Menurutnya, beliau dan mufti negeri lain sudah pun bercakap menentang kumpulan yang mahu mewujudkan negara Islam (IS) sebelum ini.

“Kita sudah pun menyatakan pendirikan kita beberapa kali pada masa lalu, bersama beberapa orang mufti juga, saya telah mengkritik IS sebelum ini,” kata Harussani.

Bagaimanapun, Harussani tetap mengkritik bekas Perdana Menteri itu dan menyatakan polisinya juga telah menjadikan orang bukan Melayu lebih berjaya daripada kumpulan bumiputera yang lain.

“Beliau bina jalan raya? Bolehkah orang Melayu makan jalan raya itu? Orang cina biasanya bercucuk tanam tetapi mereka boleh berjaya menjadi jurutera tetapi orang Melayu yang bercucuk tanam terus kekal sebegitu,” kata Harussani.

Terdapat laporan, ketika ini terdapat kira-kira 40 orang dari Malaysia sedang berjihad untuk mewujudkan IS di Syria, dengan mendakwa jihad mereka telah mendapat restu dari Nabi Muhammad S.A.W. – MYNEWSHUB

Oleh : IBNU K

194

KOTA BHARU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, penguasaan Bahasa Inggeris dalam bidang sains dan matematik dalam kalangan rakyat penting untuk mengelakkan negara daripada ketinggalan dalam bidang yang semakin berkembang itu.

“Kalau kita nak ilmu terutama dalam bidang sains dan Matematik kita mesti guna bahasa Inggeris kerana kebanyakan ilmu adalah dalam bahasa ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk “Peri Pentingnya Bahasa Inggeris di Abad Ke-21, Zaman Digital” di Wadi Sofea College (WaSC) di sini, hari ini.

“Kita akan jadi bangsa yang tidak mampu mencipta apa-apa jika gagal menguasai ilmu sains dan matematik yang kebanyakan ilmunya adalah dalam bahasa Inggeris,” katanya lagi.

Mahathir berkata, terdapat banyak kaedah yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Pengetua Wadi Sofea College, Datuk Hassan Harun. – BERNAMA

300

KOTA BAHARU – Pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa hari ini disifatkan wajar bagi mengelak berlakunya ketirisan dan penyelewengan bahan subsidi itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata jika subsidi tidak dikurangkan, bahan bakar itu akan berterusan dimanipulasi pihak tertentu untuk mengaut keuntungan menerusi kegiatan penyeludupan ke luar negara terutamanya di kawasan sempadan.

“Minyak cukup murah di sini (Malaysia). Di negara yang keluar minyak macam di Arab pun lebih tinggi harga dia, macam mana kita boleh jual murah? Itu yang orang curi minyak kita. Hari-hari orang curi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk “Peri Pentingnya Bahasa Inggeris di Abad Ke-21, Zaman Digital’ di Kolej Wadi Sofea di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Pengetua Kolej Wadi Sofea Datuk Hassan Harun.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter, berkuat kuasa 12.01 pagi hari ini.

Harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Dr Mahathir berkata pengurangan subsidi minyak itu tidak boleh dikaitkan sebagai faktor utama berlakunya kos peningkatan sara hidup.

“Kos mesti meningkat sepanjang masa. Kita tidak boleh minta gaji dinaikkan dan kos diturunkan. Gaji minimum pun sudah naik kepada RM900. Kos untuk mengeluarkan barang meningkat kerana gaji dinaikkan,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas pergolakan politik di Selangor, Dr Mahathir berkata Umno Selangor perlu bangkit semula dan perlu berbuat sesuatu.

Secara sinis, Dr Mahathir berkata: “Saya sedih terdapat pergolakan dalam Pakatan (Rakyat) namun tidak nampak Umno dapat nikmat.

“Apa jadi pada Umno? Umno pun lemah dan tidak boleh nak pulih semula, nak jadi kerajaan di Selangor. Apa jadi? Dulu kita menguasai Selangor tetapi orang berpecah pun kita tidak ada peluang,” katanya. – BERNAMA

204

MELAKA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kaum Bumiputera tidak boleh menyalahkan kerajaan dan kaum lain sekiranya sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara menjelang tahun 2020 tidak tercapai.

Beliau berkata mereka perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak mempertingkat daya usaha bagi memajukan diri.

“Kita tidak boleh menyalahkan orang lain dan mengharapkan mereka mengurangkan usaha demi kepentingan kita, sebaliknya kita kena betulkan diri dan berusaha lebih daripada kaum-kaum lain untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada Ceramah Perdana Bersama Pemikir Ulung Negara anjuran Gabungan Persatuan Pesara-Pesara Melaka di sini, hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Dr Mahathir berkata kaum Bumiputera telah diberikan banyak kelebihan daripada kerajaan khususnya dalam sektor ekonomi namun tidak digunakan dengan baik.

“Sebagai contoh, kerajaan pernah memberikan projek pembinaan kelas-kelas komputer di sekolah kepada kontraktor Melayu tetapi mereka menjual projek itu kepada orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata konsep berkongsi kuasa politik dan ekonomi yang diasaskan pemimpin terdahulu mampu terus menjamin kemakmuran dan keharmonian kaum di negara ini.

Sebaliknya, katanya tindakan berlumba-lumba menguasai kesemua bidang oleh sesuatu kaum mampu menggugat kestabilan dan ketenteraman dengan tindakan rusuhan berikutan perasaan terasing dan tertindas oleh kaum lain. – BERNAMA

99

PUTRAJAYA, – Penguasaan ilmu yang boleh diperolehi melalui pembacaan pelbagai bidang seperti agama, sains, teknologi dan matematik, penting dalam menentukan kesinambungan sesebuah tamadun,  kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam Islam pun digalakkan membaca (Iqra) tetapi bukan hanya yang berkaitan agama Islam sahaja malah lebih luas merangkumi bidang-bidang lain,” katanya yang juga Ikon Membaca Kebangsaan.

Merujuk pada abad ke-15, Dr Mahathir berkata terdapat fatwa yang menyatakan ‘Iqra’ hanya untuk membaca mengenai Islam sahaja menyebabkan umat Islam pada ketika itu menolak ilmu lain.

“Pada zaman itulah bermulanya kemerosotan tamadun Islam sehingga kini,  menyebabkan umat Islam ditindas dan dikasari, ” katanya pada program Literasi Maklumat Yayasan Kepimpinan Perdana dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 2014 di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya, tamadun Eropah mula berkembang dan mampu mencipta pelbagai senjata moden yang digunakan untuk berperang, sebaliknya umat Islam hanya mampu membeli daripada mereka.

Dr Mahathir berkata penguasaan bahasa Inggeris juga penting di zaman kini untuk memastikan seseorang mampu membantu memajukan negara bagi bersaing di peringkat global.

“Pandai sahaja tidak cukup jika kurang membaca sebaliknya jika tidak pandai tetapi rajin membaca boleh menjadikan seorang itu lebih hebat dan cekap, ” katanya.

Bertemakan “Ilmu Membina Negara Bangsa” program anjuran PNM itu bertujuan memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat serta pelajar sekolah.

Program turut dihadiri pelajar Sekolah Menengah Sains Banting, Sekolah Sultan Alam Shah, Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah Melaka dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Gombak. – BERNAMA

677

TANJUNG MALIM – Proton Holdings Bhd melancarkan kereta kompak pertamanya, Iriz yang dijual pada harga atas jalan bermula dari RM42,438.

Ia dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Proton di loji pengeluaran utama syarikat kereta nasional itu di sini, hari ini.

Harga atas jalan (OTR) bermula dari RM42,438 bagi varian Standard, RM46,438 (Eksekutif) dan RM59,438 (Premium). – BH Online

 

10

02

03

04

202

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin mesti tegas, berani dan beriltizam dalam mengambil tindakan untuk menangani krisis sekalipun keputusan yang dibuat adalah tidak popular, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata krisis lazimnya tidak berlaku secara sendiri dan seorang pemimpin mesti meneliti puncanya.

“Dalam krisis kewangan, sesetengah orang memanipulasi wang dan ini boleh mencetuskan krisis,” katanya dalam ucaptama bertemakan ‘Kepimpinan dan Pengurusan Krisis’ pada Forum CEO 2014 keenam anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Beliau berkata sistem perbankan sangat penting kerana ia membekalkan modal yang diperlukan oleh perniagaan untuk pertumbuhan ekonomi.

“Jika sistem ini disalah guna, maka ini akan membawa masalah seperti yang dihadapi oleh dunia semasa krisis kewangan ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan harus bersedia untuk campur tangan dan menghapuskan sebarang amalan buruk.

“Ini menuntut kepimpinan yang kuat bagi mengekang penyelewengan sistem perbankan,” katanya. – BERNAMA

845

Organisasi Pengganas Negara Islam (ISIS) adalah ciptaan Amerika Syarikat, kata bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam blognya hari ini yang bertajuk “The Islamic State”.

(BACA – Anwar Ibrahim kena siasat bawah akta hasutan)

Mahathir mengkritik Amerika Syarikat kerana tidak belajar dari kesilapan lalu dengan berulang kali cuba untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara tidak demokratik.

“Secara tiba-tiba, seperti ada satu kuasa di Timur Tengah seolah-olah digerakkan oleh keinginan yag kuat untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

“Dari mana mereka datang? Ia sama seperti Taliban yang diciptakan oleh Amerika Syarikat, “katanya dipetik dari blog chedet.cc

Mahathir menjelaskan rakyat Amerika takut dengan kebangkitan Syiah, mazhab Islam yang paling tinggi menentang Barat.

Beliau berkata selepas lebih 10 tahun pendudukan di Iraq, Amerika menyedari mereka tidak boleh tinggal di sana lagi. Oleh itu mereka memujuk majoriti Syiah Iraq untuk membentuk kerajaan dengan puak Sunni minoriti.

Tetapi Syiah mengambil keputusan untuk melucutkan Sunni daripada mempunyai peranan dalam kerajaan. Naib Presiden Sunni dituduh berkomplot terhadap kerajaan dan beliau terpaksa melarikan diri ke Turki untuk mengelakkan dari di tangkap atau dibunuh oleh kerajaan Iraq. Dan Iraq yang diperintah oleh Saddam Hussein, telah menjadi sebuah negeri Syiah.

Kemudian pemberontakan di Syria menggulingkan Bashar Assad, seorang pengikut Syiah. Amerika sentiasa mahu menggantikan kerajaan Syiah Bashar dengan kerajaan Sunni. Dengan Iraq dan Iran di bawah pemerintahan Syiah, kerajaan Syiah di Syria, seluruh Timur Tengah memihak kepada Syiah – musuh yang paling ganas di Amerika.

“Amerika melihat peluang untuk menggantikan Bashar dengan kerajaan Sunni, dengan percubaan dibuat untuk menggulingkan kerajaan Bashar.

Beliau berkata bagi memastikan ia adalah hasil daripada perang saudara di Syria, Amerika menyediakan bantuan ketenteraan dan wang untuk pemberontak Sunni di Syria untuk memastikan mereka menjatuhkan Bashar.

“Kebanyakan pejuang Sunni fanatik terhadap Syiah. Mereka mudah menerima bantuan Amerika Syarikat dan kemudian mengambil keputusan untuk menyeberang dari Syria ke Iraq untuk menggulingkan kerajaan Syiah di sana.

“Mereka mengimpikan seorang Khalifah Sunni baru untuk memerintah Sham, wilayah yang telah dibahagikan oleh British dan Perancis kepada Iraq, Syria, Lubnan dan Palestin.

“Namun, jika Sunni berjaya dalam negara Islam mereka akan membahayakan Israel dan kepentingan Amerika di rantau ini. Tiba-tiba Amerika Syarikat mendapati bahawa menumbangkan Bashar bukanlah idea yang bijak,” kata Mahathir.

 

Katanya, Amerika Syarikat seolah-olah tidak belajar daripada kegagalan strategi mereka yang lalu. Mereka mencipta Taliban untuk melawan Rusia di Afghanistan. Kemudiannya menjadi satu kesilapan.

“Mereka kemudian berperang ke atas Afghanistan dan Iraq yang tidak disangka-sangka boleh mendapatkan kemenangan dalam masa tiga bulan. Selepas sepuluh tahun berhabis untuk peperangan di negara-negara ini, kejayaan mereka hanya dalam mewujudkan puak pelampau Islam. Kini, mereka tidak mampu membebaskan diri daripada kedua-dua negara itu, “kata beliau.

Beliau menjelaskan bahawa Amerika cuba untuk membuat perubahan rejim di negara-negara Arab yang hanya menggugat kestabilan negara-negara itu.

Demokrasi berakhir dengan puak anti-Amerika dari kerajaan pelampau Islam dipilih. Amerika Syarikat kini mendapati dirinya terpaksa menyokong kerajaan hasil penggulingan bukan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

“Rakyat Amerika begitu jahil tentang dunia luar Amerika. Mereka percaya apa sahaja yang kerajaan mereka lakukan adalah baik untuk Amerika. Mereka tidak akan belajar kerana media cetak dan elektronik tidak berada di bawah kawalan mereka.

“Amerika perlu banyak untuk belajar tentang hubungan luar,” katanya. :-MYNEWSHUB.CC

Oleh: SYA

 

332

PUTRAJAYA – Semua pihak harus akur dengan pemilihan calon Menteri Besar Selangor yang baharu oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengelak krisis politik berpanjangan di negeri itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Beliau berkata pemilihan Sultan Selangor perlu diterima semua pihak terutamanya Pakatan Rakyat ekoran kegagalan mereka mengemukakan calon tunggal Menteri Besar Selangor yang disokong oleh semua.

“Mereka tidak dapat membuat kata putus bersama untuk mengemukakan satu calon… sebab itu Sultan meminta dua tiga calon dan terpulang pada Sultan untuk memilih sesiapa dan saya harap semua pihak akan bersetuju,” katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya terdapat usul tiada kepercayaan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri Rakyat yang menyebabkan Menteri Besar yang dipilih itu ‘jatuh’, ia hanya memanjangkan masalah di negeri itu.

“Berpanjangan masalahnya dan lebih baik mereka sokong siapa yang akan dicalonkan sebagai Menteri Besar,” katanya kepada media selepas melancarkan projek pembangunan bercampur Shapadu Putrajaya Haven di sini, hari ini.

Ditanya adakah pemilihan Menteri Besar oleh Sultan Selangor menunjukkan pencabulan demokrasi dalam Parlimen, Dr Mahathir berkata :”Demokrasi adalah
mengikut suara ramai, kali ini tiada suara ramai jadi terpaksa pihak seperti presiden membuat keputusan.

“Kalau ada satu calon yang disokong penuh oleh semua, maka tidak ada kemungkinan usul tiada kepercayaan, malah satu nama dah cukup,” katanya.

Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diadakan esok di Istana Alam Shah, Klang.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata nama menteri besar yang baharu bakal diumumkan hari ini bergantung kepada perkenan Sultan Sharafuddin.- BERNAMA

142

KUALA LUMPUR – Syarikat pembinaan tempatan perlu diberi lebih banyak peluang untuk menunjukkan kredibiliti mereka membina bangunan pelbagai bentuk dan ketinggian daripada memberi projek berkenaan kepada firma asing.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemberian projek-projek kepada syarikat tempatan akan dapat menghalang pengaliran keluar wang ke negara lain.

“Jika keluar (wang), ini bermakna kita akan mempunyai defisit dalam imbangan dagangan kita dan ini akan dapat dilihat dalam perbelanjaan kerajaan kerana ia mungkin perlu meminjam.

“Sebaliknya, jika aliran masuk dana yang baik, imbangan akan memihak kepada kami,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pembinaan Malaysia 2014 di sini hari ini.

Dr Mahathir menggesa industri pembinaan supaya bersama-sama dengan kerajaan, membantu memastikan margin serendah mungkin.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Matthew Tee berkata industri pembinaan menikmati pertumbuhan memberangsangkan, lebih daripada dua angka pada 2012 dan 2013.

“Bagi 2012, industri ini mencatatkan paras paling tinggi dari segi pertumbuhan dengan pelaksanaan projek besar-besaran laluan 1 MRT dan seperti yang dilaporkan sebelum ini, kita menjangkakan laluan 2 tidak lama lagi,” katanya.

Tee berkata dengan pembangunan yang dirancang, Warisan Merdeka dan Bandar Tun Razak Exchange, persatuan itu optimistik dengan industri pembinaan dalam tempoh lima tahun akan datang. – BERNAMA

268

KUALA LUMPUR – Rakyat disaran menguasai Bahasa Inggeris untuk memperoleh ilmu pengetahuan dengan lebih cepat agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan terkini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata, menguasai Bahasa

Inggeris adalah penting kerana ia merupakan lingua franca yang digunakan dalam pembangunan terkini terutama dalam bidang sains dan matematik.

“Kini segala-galanya berkisar dalam konteks sains kerana semua jurnal mengenai perkembangan sains dan kajian adalah dalam Bahasa Inggeris.

“Justeru sekiranya kita mahu maju dan setanding dengan dunia maju, kita mesti mengusai Bahasa Inggeris serta mempunyai pengetahuan lengkap tentang sains dan matematik,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Malaysia – Afrika 2014 di sini hari ini.

Beliau turut menekankan tentang kepentingan memahami ilmu kerana ia berkembang secara pesat dan progresif dalam dunia akademik. – BERNAMA

1220

FUH, memang istimewa sungguh Proton Iriz yang bakal dilancarkan pada 25 September ini!

Bayangkan, mantan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri memandu model kompak tersebut pagi tadi untuk bersarapan di The Loaf, Pavilion.

Beliau turut ditemani oleh beberapa pegawai tertinggi Proton.

Kehadirannya secara tidak langsung menarik perhatian orang ramai yang berada di situ.

Untuk makluman, Proton akan membuka tempahan untuk model ini dengan harga bermula sekitar RM45,000.

Jom layan beberapa gambar Tun Dr. Mahathir bersama Proton Iriz:

GAMBAR: Tun Mahathir Buat Kejutan Pandu Proton Iriz

GAMBAR: Tun Mahathir Buat Kejutan Pandu Proton Iriz

GAMBAR: Tun Mahathir Buat Kejutan Pandu Proton Iriz

 

Oleh: ELZA / MYNEWSHUB.CC

118

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memuji pergerakan kesatuan sekerja Malaysia kerana sumbangan besarnya dalam memelihara keharmonian perhubungan perusahaan dan membantu ke arah pembangunan.

“Kita bernasib baik kerana mempunyai pemimpin kesatuan sekerja yang bersikap munasabah dalam tuntutan mereka serta tahu tentang akibat buruk daripada kekacauan perusahaan dan pentingnya bekerjasama dengan kerajaan bagi memelihara keamanan serta membangunkan negara,” katanya.

Ketika melancarkan buku autobiografi ikon kesatuan sekerja Malaysia A. Ragunathan, 80, yang juga bekas presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), beliau berkata “pemimpin seperti Ragu inilah yang membantu membentuk iklim perhubungan perusahaan di negara ini.”

Beliau seterusnya menggesa majikan supaya bekerjasama rapat dengan anggota kesatuan sekerja dengan berkata “tanpa sokongan pekerja, apa juga kerja anda tak akan menjadi.”

Buku setebal 173 muka surat itu, yang berjudul “MY WAY” dan disunting bekas wartawan kanan Bernama Sajad Hussein, memuatkan strategi perhubungan perusahaan sepanjang tiga dekad dalam perkhidmatan awam Malaysia dari 1960-an hingga 1990-an.

Ia juga memuatkan pelbagai semakan gaji serta penambahbaikan terhadap syarat perkhidmatan lebih kurang sejuta penjawat awam di negara ini.

Ragunathan, yang pernah digelar “tokoh kesatuan sekerja yang tiada tolok bandingnya” oleh Dr Mahathir, antara lain diingati kerana kejayaannya meneroka pendekatan baharu dalam rundingan dengan kerajaan bagi mendapatkan habuan terbaik untuk penjawat awam.

Pada zaman kegemilangannya, Ragunathan terkenal kerana mempunyai “hot line” dengan Dr Mahathir, yang banyak membantu menyelesaikan pelbagai isu dan menjamin wujudnya suasana baik dalam perhubungan perusahaan di negara ini.

Dr Mahathir juga menggesa kerajaan menimbang memberi pengiktirafan terhadap sumbangan Ragunathan walaupun tokoh kesatuan sekerja itu sudah bersara. – BERNAMA

337

KUALA LUMPUR – Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) meminta pelbagai pihak agar tidak mempolitik atau memutar belit teguran Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Bagi saya, teguran Tun Mahathir itu seumpama bapa menegur anak. Namun pihak lain tidak patut memutar belit teguran tersebut semata-mata memenuhi agenda sendiri,” kata Presiden PPKM Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh kepada Bernama hari ini.

Wan Mahmood berkata demikian ketika mengulas tentang teguran Dr Mahathir menerusi blog www.chedet.cc dan kesediaan Najib bertemu bekas perdana menteri itu.

Antara isu yang dibangkit Dr Mahathir adalah Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan pemansuhanAkta Keselamatan Dalam Negeri.

Wan Mahmood, yang mewakili persatuan yang dianggotai lebih 40,000 bekas pegawai kerajaan, turut memuji sikap terbuka Najib atas kesediaan beliau bertemu Dr Mahathir dan menganggap sikap itu perlu dicontohi pemimpin lain terutama barisan pemimpin muda yang menerajui sayap Umno.

Rakyat pula, katanya, tidak harus mudah menerima sebarang maklumat berunsur fitnah terhadap pentadbiran perdana menteri.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Najib berkata beliau tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir berhubung teguran bekas perdana menteri itu terhadap pentadbirannya.

“Apapun segala kemungkinan akan berlaku…harap ia berkesudahan dalam keadaan yang baik untuk Umno keseluruhannya,” kata Najib. – BERNAMA

213

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
Tun Razak tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir
Mohamad berhubung teguran bekas perdana menteri itu terhadap pentadbirannya.

“Apapun segala kemungkinan akan berlaku…harap ia berkesudahan dalam
keadaan yang baik untuk Umno keseluruhannya,” katanya pada sidang media selepas
mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini.

Najib yang juga Presiden Umno berkata demikian semasa menjawab pertanyaan
sama ada beliau akan menemui Dr Mahathir, yang menegur dasar pentadbiran beliau
menerusi blog www.chedet.cc, baru-baru ini.

Antara isu yang dibangkit bekas perdana menteri Malaysia paling lama itu
ialah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP),
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA).

Menyifatkan teguran itu sebagai masalah dalaman Umno, Najib berharap ia
dapat diuruskan dan ditangani dengan sebaik-baiknya.

Najib berkata kenyataan beberapa pemimpin Umno berhubung teguran
Dr Mahathir sebelum ini, juga menunjukkan mereka memberi sokongan
penuh terhadap kepimpinan sedia ada.

“Tapi, dalam masa sama, kita hormati Tun Mahathir sebagai pemimpin yang
lebih berpengalaman,” katanya.– BERNAMA

77

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhak untuk menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak semestinya pandangan itu dipersetujui.

Menegaskan demikian, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Dr Mahathir dikenali sebagai seorang yang mempunyai pendirian dan pandangan tersendiri serta tidak lokek dalam memberi teguran kepada kepimpinan negara.

Hishammuddin bagaimanapun secara peribadi berpendapat teguran itu seharusnya dinilai dengan melihat prestasi dan cara Najib melaksanakan tanggungjawabnya.

“Sebagai contoh, jika kita mengambil kira apa yang dilakukan Najib dalam insiden MH17, saya tahu tidak ramai pemimpin di luar sana yang mampu lakukan apa yang telah Najib lakukan.

“Sekiranya Najib tidak mengambil pendirian yang berani untuk berdepan dengan pihak pemisah hari itu, tidak mungkin saya dapat berdiri di sini untuk menguruskan jenazah kembali ke tanah air,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat kepada editor kanan berhubung persiapan istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di sini, Selasa.

Hishammuddin berkata adalah sesuatu yang menyedihkan jika usaha yang dilakukan Najib dalam memastikan keadilan kepada mangsa dan anggota keluarga pesawat MH17 itu gagal dinilai orang ramai.

Pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Mayat mangsa diambil oleh puak pemisah dan Najib mengambil inisiatif untuk berbincang dengan kumpulan itu yang kemudiannya bersetuju untuk memulangkan mayat kepada kerajaan Belanda.

Hishammuddin seterusnya menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk mengaibkan pandangan Dr Mahathir.

Semalam, Dr Mahathir membuat kenyataan menarik balik sokongan kepada Najib kerana mendakwa prestasinya lebih buruk daripada perdana menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perkara itu dinyatakan di blognya www.chedet.cc dan Dr Mahathir berkata adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menegur kepimpinan negara, kerana sayang kepada bangsa dan negara. – BERNAMA

62

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berniat meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, sebaliknya hanya memberi teguran terhadap Perdana Menteri dalam catatan terbaru dalam blognya.

“Saya tidak kata dia (Najib) patut letak jawatan, saya cuma tidak setuju dengan sebahagian daripada dasar dia.

“Ia (teguran) itu bukan bersifat peribadi. Orang lain tak tegur dia, jadi saya tegur la,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (IEIJS-UUM) di sini hari ini.

Bekas perdana menteri itu dalam catatan blognya hari ini berkata, beliau menegur pentadbiran Najib kerana berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala yang dilakukan oleh mereka adalah baik belaka.

Katanya, hanya apabila ditegur sahaja pemimpin akan sedar kesalahan yang dilakukan dan mungkin memperbetulkannya.

Dr Mahathir berkata beliau menegur menerusi blognya kerana telah berulang kali menegur pentadbiran Najib tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil.

Sementara itu, mengenai penubuhan IEIJS, Dr Mahathir berkata, ia dapat membantu memberi kefahaman dalam bentuk fakta akademik kepada orang Islam dan juga bukan Islam mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Palestin.

“Tidak banyak kajian fakta tentang Baitulmaqdis oleh ulama-ulama Islam. Hasil penubuhan institut ini, saya berharap akan ada kefahaman yang lebih baik tentang apa jua yang berlaku di sana,” katanya. – BERNAMA

Sertai Kami!