RLIR: Pasukan ‘Oi!’ Sudah Sah Juara Berbaki 2 Perlumbaan

LANGKAWI – Pasukan ‘Oi! dari Australia sudah mengesahkan kejuaraan kelas Racing pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) ke-13 di sini, walaupun saingan itu masih berbaki dua perlumbaan esok.

Selepas lapan perlumbaan hari ini, pasukan ‘Oi! yang dikemudi Peter Ahernterus mengukuhkan kedudukan dengan mengutip lapan mata penalti dan pencapaian pasukan berkenaan tidak mampu digugat oleh tiga pencabarnya dari Malaysia.

Tempat kedua milik pasukan ‘Utarid’ yang mengumpul 17 mata penalti diikuti ‘Zuhrah’ (23) manakala ‘Zuhal’ yang mengutip 34 mata penalti di tempat terakhir dalam kalangan empat pasukan yang bersaing dalam kelas berkenaan.

Bagi ketua pasukan ‘Utarid’, Ishak Jap, beliau terpaksa mengakui kehebatan pasukan ‘Oi!’ yang bakal dinobatkan juara pada kejohanan kali ini, namun bertekad mencalar rekod bersih pasukan berkenaan pada perlumbaan esok.

“Memang sudah jelas ‘Oi!’ bakal bergelar juara RLIR kategori Racing kali ini tetapi kami masih bersemangat untuk menghabiskan baki dua lagi perlumbaan.

“Walaupun tidak mampu mengatasi ‘Oi!’, pasukan ‘Utarid’ berazam mahu mencalar prestasi ‘Oi!’ dengan cuba memenangi pusingan kesembilan dan ke-10 esok,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Ishak yakin pasukannya mampu mempertahankan kedudukan di tempat kedua selepas perlumbaan esok.

Beliau berkata prestasi krunya bertambah baik dalam setiap perlumbaan, namun beberapa perkara perlu diberi perhatian seperti menggunakan layar yang bersesuaian mengikut kelajuan angin.

Sejumlah 40 kapal layar dari seluruh dunia termasuk Malaysia, Britain, Australia, Thailand, Singapura, Rusia, Austria, Denmark, China, Hong Kong, Itali, New Zealand dan Jepun bersaing dalam RLIR tahun ini. – BERNAMA

KEDUDUKAN

(selepas tamat lapan perlumbaan)

1 Oi! (AUS) – 8 mata penalti

2 Utarid (MAS) – 17

3 Zuhrah (MAS) – 23

4 Zuhal (MAS) – 34

Loading...