KAFA Ucap Takziah, Harun Antara Pelakon TRW The Movie

KUALA LUMPUR – Pasukan `The Red Warrios’ (TRW) mengucapkan takziah kepada keluarga pelakon dan pelawak, Harun Salim Bachik yang meninggal dunia petang semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, Allahyarham merupakan salah seorang pelakon dalam filem TRW The Movie yang bakal ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Semua warga KAFA dan penyokong TRW mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan kita sudah tentu turut merasa kehilangan ini terutamanya apabila peranan beliau dalam filem kita bakal di kenang selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia setelah rebah di dalam tandas ketika berhenti rehat di Stesen Minyak Petronas Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Taiping.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang, beliau dan ahli keluarganya berhenti di R&R berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri kenduri di Pulau Pinang.

- MYNEWSHUB.CC

Loading...