Konsert Unplugged 2015 Bukti Keampuhan Vokal Siti Nurhaliza

Semalam, seluruh isi Panggung Sari, Istana Budaya menjadi saksi satu persembahan istimewa dari penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dalam Konsert Unplugged 2015.

Memilih untuk tampil serba ringkas dari segi busana dan tata rias pentas, Siti, walau bagaimanapun tidak berkompromi dari sisi vokalnya apabila beliau berupaya memperlihatkan ‘taringnya’ yang masih berbisa dan kekal sama.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Jerat Percintaan itu membuktikan beliau berada pada kelas yang tersendiri apabila bersetuju untuk mengadakan persembahan tersebut dua minggu dari tarikhnya.

[TERDAHULU: VIDEO: Konsert Makin Hampir, Siti Kongsi Latihan Di Instagram]

KONSERT UNPLUGGED DATUK SITI NURHALIZA

Mendendangkan variasi lagunya sejak dari awal pembabitan dalam industri muzik, Siti turut menjadikan persembahannya itu sebagai platform untuk memperdengarkan keseluruhan ‘repertoire‘ dalam album terbarunya, Fragmen.

Lagi bertambah manis, Konsert Unplugged yang julung kali diadakan itu turut diserikan dengan kehadiran tokoh pemimpin Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Berlangsung hampir dua jam, antara lagu yang disenandungkan beliau adalah lagu pertama yang dirakamkannya ketika mula-mula menjadi penyanyi iaitu Jawapan Di Persimpangan.

Selain itu, Siti memilih untuk menyanyikan dua buah lagu dari penyanyi lelaki iaitu Epilog Cinta Dari Bromley dendangan Suhaimi Meor Hassan dan Suratan Atau Kebetulan oleh Kenny, Remy & Martin.

Bukan itu sahaja, satu ‘tribute’ khas dilakukan untuk seorang figura yang mula-mula mengesan bakat yang dimiliki Siti, siapa lagi kalau bukan komposer terkenal Adnan Abu Hassan.

Menjemput Adnan untuk naik ke pentas dan bermain piano, Siti kemudiannya mendendangkan lagu yang berjaya mengangkat namanya sebagai bintang pada tahun 1996, iaitu lagu ciptaan komposer itu sendiri, bertajuk Jerat Percintaan.

Konsert kali ini sekali lagi membuktikan biduanita itu masih kekal di aras yang tersendiri dalam industri seni suara tanahair.

Tidak hanya terhenti di situ, satu lagi khabar gembira diumumkan beliau apabila dia bakal membuat persembahan Muzikal Siti selama lapan hari di Istana Budaya pada November depan.

– MYNEWSHUB.CC

Oleh: IZZAT MOHD ANUAR

Sedutan Rakaman Konsert Unplugged Siti Nurhaliza 2015

Loading...