Pelakon Filem Ahmad Albab, Karim Latiff Meninggal Dunia

DUNIA seni hiburan tanah air pada Selasa kehilangan seorang lagi pengiat seni apabila pelakon yang pernah membintangi filem Ahmad Albab, Karim Latiff kembali ke Rahmatullah kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Allahyarham dilaporkan menghidap penyakit kanser tahap empat, akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibu negara.

Menurut seorang kenalan keluarganya, Karim Latiff atau nama sebenar Abdul Karim Abdul Latiff, 78; dimasukkan ke HKL selepas sesak nafas dan dikenal pasti menghidap barah menerusi pemeriksaan baru-baru ini.

“Allahyarham meninggal di HKL. Jenazah dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Pasir Hulu Klang tetapi setakat ini belum dapat makluman mengenai perincian lain termasuk urusan pengebumian,” katanya kepada portal BH Online.

Bagaimanapun stesen radio Bernama24 melaporkan, jenazah aktor veteran ini selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Batu Muda, Gombak selepas solat Asar petang Selasa.

Menerusi filem komedi Ahmad Albab arahan Tan Sri Dr. P. Ramlee, Allahyarham memegang watak Safar iaitu biras kepada Syawal yang dilakonkan oleh Seniman Agung itu.

Karim Latiff sebagai Safar dalam filem Ahmad Albab.
Allahyarham Karim Latiff sebagai Safar dalam filem Ahmad Albab.

Selain itu, Allahyarham turut pernah membintangi beberapa filem tempatan lain antaranya Sumpah Pontianak, Mahsuri, Anak Bapak, Masam-masam Manis dan Keluarga 69.

Pelakon veteran ini juga berbakat besar dalam arena seni suara dan pernah berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pengalih suara.

Hasil perkahwinannya bersama Che Asma Hussain, Allahyarham dikurniakan lima cahaya mata iaitu Izuddin, Izmir, Nur Iznita, Izhar dan Izralfiddin selain 10 cucu.
– MYNEWSHUB.CC

Oleh: CARRIE

Sumber: Berita Harian

Loading...